Statistik Penamaan Calon Pilihanraya Umum Ke-13

- 12.26
advertise here
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengesahkan ada pertandingan di semua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pengundian 5 Mei ini.

Selepas hari penamaan calon ditutup pada Sabtu, seramai 579 calon disahkan layak bertanding bagi kerusi Parlimen.

Mereka terdiri daripada 221 calon daripada Barisan Nasional (BN), PKR (99), PAS (73), DAP (51), Bebas (79), STAR (28), Berjasa (9), SAPP (8), SWP (6), Kita (2), PCM (2) dan Bersama (1).

Bagi kerusi DUN, SPR mengesahkan 1,320 calon layak bertanding.

Dengan calon BN seramai 505, PAS (236), PKR (172), DAP (102), Independents (190), STAR (49), SAPP (41), Berjasa (5), Kita (11), Bersama (4), PCM (3) dan PSM (2).

Tiada calon menang tanpa bertanding pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Ini kerana kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri menyaksikan pertandingan.

Pada pilihan raya umum 2008, empat calon bergelar "Yang Berhormat" pada haripenamaan calon apabila mereka menang tanpa bertanding.

Mereka ialah Datuk Wahab Dolah (BN-Parlimen Igan, Sarawak), Datuk Zakaria Mohd Edris (BN-DUN Gum-Gum, Sabah), Datuk Abdul Raman Palil (BN-DUN Sementa, Selangor)dan Wan Ubaidah Omar (PAS-DUN Kijang, Kelantan).

Proses penamaan calon di 222 pusat di seluruh negara tamat pada pukul 10 pagi Sabtu setelah menyaksikan penyerahan borang pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Proses yang berlangsung selama sejam sejak dibuka pada pukul 9 pagi dapat diselesaikan lebih awal berikutan buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tidak ada lagi tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan.

Laporan awal menunjukkan bahawa proses penyerahan borang pencalonan di seluruh negara berlangsung dalam aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

SPR menetapkan 30 April sebagai tarikh pengundian awal dan 5 Mei pengundian biasa. Calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen, sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi pada PRU13 dengan 275,341 orang merupakan pengundi awal dan 12,992,661 orang pengundi biasa.

- BERNAMA

Advertisement
 

Start typing and press Enter to search