Pembayar cukai boleh menuntut pelepasan cukai

- 05.30
advertise here
Oleh RAVINDRAN DURAISAMY
Penulis ialah ejen cukai berkelayakan, akauntan berkanun dan anggota Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Berkanun Cukai Malaysia(CTIM) dan Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah UK (ACCA).
Ramai yang akan berfikir dua kali untuk membuka surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana khuatir mereka mungkin diminta membayar lebih banyak cukai. Pernah sekali seorang pelanggan menyerahkan kepada saya sampul surat daripada LHDN dan meminta saya membukanya dan untuk memaklumkan kandungan surat itu kepadanya hanya selepas beliau pulang daripada percutian singkat di luar negara.

Mengetahui yang beliau tidak pernah gagal membayar cukai, saya membuka sampul surat itu dan membaca kandungannya. Saya kemudian memaklumkan kepadanya yang beliau telah membayar cukai berlebihan dan jumlah itu akan dipulangkan kepadanya.

Jadi mengapa pula fobia dengan pihak berkuasa cukai? Sebenarnya pembayar cukai tidak perlu takut dengan mana-mana pihak, cuma mereka perlu tahu akan hak mereka dan pelepasan yang diberikan kepada mereka. Adalah penting yang pembayar cukai membaca dengan teliti borang B atau BE jika mereka mahu mengisi sendiri selain mendapatkan nasihat daripada akauntan berkanun dan ejen cukai di negara. Butir-butir ejen cukai boleh diperoleh daripada pejabat-pejabat LHDN atau dengan melawat laman web LHDN di hasil@gov.net.my

Dengan mengetahui pelbagai pelepasan peribadi yang disediakan bagi pembayar cukai, mereka boleh boleh merancang dengan yakin bayaran cukai masing-masing. Jadi apakah pelepasan cukai yang boleh dinikmati individu bagi tahun taksiran 2011 apabila mengisi borang B atau memfail butiran cukai secara atas talian pada awal 2012?

Seorang pembayar cukai boleh menuntut pelepasan RM9,000 bagi diri sendiri bagi tahun taksiran 2011. Sebelum ini, sehingga 2009, pelepasan ini hanya berjumlah RM8,000 dan angka RM9,000 ini juga dilanjutkan sehingga 2012. Satu pelepasan sebanyak RM5,000 bagi perbelanjaan perubatan, bagi pembayar cukai, pasangan, anak juga diperuntukkan kepada mereka dengan penyakit serius seperti barah, masalah jantung, kegagalan buah pinggang dan yang lain.

Tanggungan keluarga

Bagi seorang pembayar cukai yang cacat, pasangan, anak atau ibu bapa yang memerlukan peralatan sokongan seperti kerusi roda untuk membantu meneruskan dengan kehidupan boleh menikmati pelepasan maksimum sehingga RM5,000. Sejak 2005 seorang pembayar cukai yang cacat mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM6,000 berbanding RM5,000 sebelumnya sementara suami/isteri yang cacat menerima pelepasan tambahan sebanyak RM3,500 (sebelum 2005 jumlah ini bernilai RM2,500).

Jika suami atau isteri pembayar cukai tidak mempunyai sumber pendapatan atau jika mereka memilih taksiran bersama, mereka boleh menerima pelepasan tambahan sebanyak RM3,000. Pembayar cukai juga boleh menuntut jumlah maksimum RM5,000 bagi perbelanjaan perubatan ibu bapa. Mereka boleh menuntut pelepasan menggunakan resit bayaran asal daripada pusat perubatan dan klinik yang berkenaan.

Sebagai contoh jika jumlah perbelanjaan bagi ibu bapa adalah RM8,500 maka pembayar cukai berkenaan boleh menuntut jumlah maksimum sehingga RM5,000. Bagaimanapun, katakan seorang lagi anggota keluarga menanggung separuh daripada kos perubatan itu, iaitu RM4,250 maka pembayar cukai itu hanya boleh menuntut RM4,250 dengan pelepasan baki separuh lagi dituntut oleh anggota keluarga berkenaan.

Jadi adalah penting bagi pembayar cukai untuk mengetahui berapa banyak pelepasan cukai yang beliau boleh nikmati dalam merancang jumlah cukainya. Berdasarkan pada contoh di atas pembayar cukai boleh membayar RM5,000 untuk menikmati pelepasan maksimum dan meminta seorang lagi anggota keluarga membayar baki RM3,500 yang juga boleh menuntut pelepasan mengikut jumlah baki itu.

Pelepasan sebanyak RM5,000 juga dilanjutkan hingga 2012 dan berkuat kuasa tahun taksiran 2011 ia dilanjutkan untuk meliputi perbelanjaan yang terbabit dalam menjaga ibu bapa di rumah penjagaan dan sehinggakan pusat jagaan harian.

Bagaimanapun, seorang pengamal perubatan perlu memperakukan masalah perubatan yang dihadapi ibu bapa yang memerlukan mereka berada dalam penjagaan pihak lain termasuk pusat jagaan. Anak yang dengan sengaja memilih untuk menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua tidak dapat menikmati insentif ini.

Simpan resit asal

Pembayar cukai, sama ada suami atau isteri, boleh menuntut pelepasan bagi anak mereka dengan menyeluruh atau mengikut peratusan - peraturan fleksibel yang disediakan kerajaan. Bagi anak yang berusia 18 tahun dan ke bawah, pelepasan sebanyak RM1,000 diberikan tidak kira anak itu belajar atau tidak.

Bagi anak yang usianya menjangkau 18 tahun dan belajar di universiti, atau kolej atau yang setaraf, di dalam negara atau di luar negara, pelepasan sebanyak RM4,000 disediakan. Bagi setiap anak cacat yang belum berkahwin, pelepasan diberikan sebanyak RM5,000. Bagi seorang anak cacat yang melanjutkan pengajian tinggi, pelepasan tambahan RM4,000 diberikan sejak tahun taksiran 2006.

Pelepasan lain termasuk sumbangan insurans dan KWSP sehingga RM6,000. Premium insurans yang dibayar bagi manfaat pendidikan dan perubatan membawa pelepasan tambahan sebanyak RM3,000. Pelepasan sebanyak RM5,000 juga diberikan bagi yuran pendidikan dalam bidang teknikal, vokasional, industri, saintifik, teknologi, undang-undang, perakaunan, pembiayaan Islam selain kemahiran atau kelayakan di peringkat tinggi sehingga kedoktoran falsafah.

Seorang pembayar cukai juga boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pembelian buku, majalah serta penerbitan lain bagi diri, pasangannya ataupun anak. Dengan itu adalah penting pembayar cukai menyimpan resit asal untuk tujuan pemeriksaan pengesahan pihak berkuasa percukaian.

Pelepasan sebanyak RM3,000 diberikan bagi pembelian komputer yang diperkenalkan pada tahun taksiran 2007 dan pembayar cukai boleh menggunakan pelepasan ini sekali dalam setiap tiga tahun. Bagi pembelian peralatan sukan, pelepasan sebanyak RM300 disediakan sejak 2008 dan bagi yuran langganan jalur lebar, pelepasan sebanyak RM500 diberikan sejak 2010.

Simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) membawa pelepasan sebanyak RM3,000 dengan insentif ini bermula pada tahun 2007. Pembayar cukai yang membeli rumah kediaman, pangsapuri atau kondominium dan menandatangani perjanjian jual-beli antara 10 Mac 2009 dan 31 Dis 2010 boleh menuntut pelepasan maksimum sehingga RM10,000 setahun bagi tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun faedah itu dibayar.

Pembayar cukai perlu membaca panduan mengisi borang cukai dan mengambil kira lima perkara di atas. Mereka juga boleh meminta penjelasan akauntan berkanun atau ejen cukai mengenai pelepasan cukai yang mereka boleh nikmati. Kegagalan untuk mengambil kesempatan daripada pelepasan-pelepasan ini akan menyebabkan pembayar cukai membayar cukai yang tinggi.

- BERNAMA

* Artikel disiarkan di SINAR HARIAN


Advertisement
 

Start typing and press Enter to search