Rabu, 03 April 2013

Lepasan SPM & STPM : Panduan Memilih Bidang Pengajian


Oleh Ruhaiza Rusmin

Debaran menanti keputusan SPM sudah berakhir minggu lalu dan kini masanya pula untuk merencanakan masa depan.

Ada banyak pilihan boleh dibuat, namun penulis percaya ramai yang kini sedang berpusu-pusu mengisi borang kemasukan Unit Pengambilan Pelajar (UPU) atau tercari-cari program sesuai diikuti untuk melanjutkan pengajian.

Biarpun mempunyai keputusan yang melayakkan banyak pilihan program, ramai lepasan SPM masih lagi salah membuat pilihan atau terkeliru dengan kehendak sendiri mahupun orang lain. Akhirnya mereka ‘tersung­kur’ hingga menjejaskan masa depan.

Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Muhamad Nizam Noordin berkata, antara faktor mengapa lepasan SPM berdepan dilema atau salah membuat pilihan kerana tidak memperoleh maklumat lengkap mengenai program selain tidak selari dengan minat.

Menurutnya, sebagai empunya diri yang bakal melanjutkan pengajian, mereka perlu berusaha mencari apa jua maklumat dan bukan mengharapkan orang lain yang membuat keputusan.


“Bersikap lepas tangan atau menyuruh orang lain membuat pilihan bukan satu tindakan bijak, malah mungkin boleh mengundang masalah pada masa depan.

“Calon sebagai empunya diri juga perlu berusaha dan membuat keputusan sendiri kerana mereka yang bakal belajar.

“Membenarkan orang lain untuk membuat keputusan, membuat keputusan salah kerana bertentangan dengan minat atau salah memperoleh maklumat hanya akan menyebabkan mereka kecewa,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan program seharusnya dibuat awal kerana lepasan SPM mempunyai masa hampir setengah tahun untuk membuat keputusan.

“Itu belum ditambah pendedahan mengenai program, prospek kerjaya mahupun pelbagai maklumat lagi sepanjang tempoh belajar.

“Jadi, tidak mungkin soal salah pilih, kurang maklumat atau tidak suka boleh timbul kerana akses ke arah itu kini sudah terlalu mudah.

“Kemungkinan kurang persediaan atau sikap ambil mudah untuk merancang masa depan menyumbang ke arah itu,” katanya.

Seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dengan 15,793 calon memperoleh Gred A bagi semua mata pelajaran diambil.

Muhamad Nizam berkata, lepasan SPM juga diingatkan supaya lebih teliti membuat pilihan bagi mengelakkan konflik dan masalah berbangkit selepas mengikuti program ditawarkan.

Katanya, kesilapan itu bukan saja merugikan, malah merumitkan lagi keadaan kerana pertukaran program tawaran dengan program lain tidak mudah dan perlu mengikuti prosedur ditetapkan institusi pengajian.

“Perlu ingat, setiap kali penawaran tempat diberikan, ia bermakna muktamad. Sebarang permohonan pertukaran program atau kursus sukar dipertimbangkan kecuali jika benar-benar mempunyai alasan kukuh.

“Proses pengambilan juga membabitkan skala besar dengan puluhan ribu yang memohon. Institusi ada piawaian tersendiri untuk dipatuhi.

“Justeru, bagi yang ingin menyambung pelajaran, pastikan diri sudah muktamad dengan keputusan sedia ada. Jangan ada rasa ragu kerana ia juga boleh mengakibatkan masalah seperti patah semangat andai permohonan penukaran program ditolak,” katanya.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan program boleh memberi kesan jangka panjang kerana turut berkait dengan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

“Satu sebab kita memohon masuk universiti atau kolej kerana ingin memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Oleh kerana itu penting menetapkan secara mutlak pilihan program kerana salah jangkaan boleh mendatangkan kesan terhadap pemilihan kerjaya.

“Benar ada kerjaya boleh diceburi dengan program pengkhususan berbeza tapi lebih baik jika dunia pekerjaan itu diselarikan dengan spesifikasi program ketika di institusi,” katanya.

Beliau tidak menolak pengaruh rakan juga boleh menyebabkan kesilapan pelajar ketika membuat pilihan.

“Ada pelajar beranggapan mengikut kata atau rentak rakan berbaloi, tapi jika pilihan ini dibuat bersandarkan faktor itu sebenarnya sangat berbahaya.

“Kemampuan seseorang berbeza antara satu sama lain. Mungkin rakan kita ada kemampuan mengikuti program tertentu tapi kita tidak.

“Jadi mengapa perlu memperjudikan masa depan semata-mata mahu mengikut rakan, sedangkan kita juga masih boleh membuat pilihan sendiri,” katanya.

Dengan pelbagai penawaran program disediakan institusi hari ini, beliau yakin pelajar lepasan SPM mempunyai banyak pilihan untuk disesuaikan dengan minat dan cita-cita.

“Jika dulu mungkin lepasan SPM hanya terikat pada pilihan tipikal seperti perubatan, pentadbiran perniagaan, kesetiausahaan, perundangan dan perakaunan. Hari ini macam-macam program ditawarkan.

“Buat saja pilihan kemudian belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia cukup mudah, namun peliknya masih ada juga yang tidak tahu. Nasihat saya, buat pilihan mengikut minat dan tanpa paksaan, tentu tiada masalah,” katanya.

- HARIAN METRO


 

Top