Freelancer.com tarik 7 juta pengguna

- 11.08
advertise here

Freelancer.com, portal pasaran pekerja bebas terbesar dunia dijangka memudahkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain menjana pendapatan lebih tinggi bagi pekerja bebas di negara ini dengan  mengembangkan pangkalan data pengguna di Malaysia.

Naib Presiden Pembangunan Freelancer.com, Willix Halim berkata, pemilik PKS sentiasa mencari cara berjimat semasa menjalankan perniagaan dan melalui Freelancer.com, PKS mempunyai cara yang cekap dan berkesan dari segi penjimatan kos dalam menguatkan potensi sumber manusia dalam kalangan pengguna Internet.

"Sebagai peneraju dunia dalam pasaran pekerja bebas, berdasarkan jumlah trafik (Alexa.com), Freelancer.com kini mempunyai lebih daripada tujuh juta pengguna dari 234 negara.

"Di peringkat antarabangsa pula, laman ini menarik lebih daripada 4,500 pengguna baru setiap hari," katanya.

PKS adalah bahagian penting yang melengkapi ekonomi Malaysia, merangkumi 97.3 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan dan menyumbang 32.5 peratus kepada ekonomi pada 2011. Industri itu juga merupakan sumber pekerjaan utama negara, di mana lebih daripada 645,000 syarikat PKS menggaji 4.5 juta pekerja.

Menurut Halim, di seluruh dunia, PKS telah menggunakan Internet untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan dari segi penjualan barangan, kos pentadbiran serta operasi.

“Pasaran terbuka pekerjaan bebas yang didorong oleh Freelancer.com sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Selain memupuk, menarik, dan mengekalkan bakat, Freelancer.com turut menawarkan peluang mendekati pasaran dunia dengan memanfaatkan kebolehan berkomunikasi dalam berbilang bahasa,” katanya.

Dunia peluang pekerjaan tanpa sempadan itu dijangka memberi impak hebat kerana statistik  menunjukkan 17.5 juta daripada 29 juta penduduk negara ini adalah pengguna Internet, termasuk 5 juta pengguna jalur lebar, 2.5 juta pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G.

Malaysia juga negara ke-15 mempunyai paling ramai pengguna Freelancer.com iaitu 6,724 majikan dan 39,084 pekerja bebas.

- SINAR HARIAN

 

 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search