Iklan jenama tingkatkan jualan dan raih keyakinan pengguna

- 11.49
advertise here

Jenama Samsung muncul sebagai pemenang utama Anugerah Jenama Putra 2013 anjuran Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), apabila ia dinobatkan sebagai Putra Brand of the Year.

Acara itu turut menyaksikan 31 jenama memenangi pingat emas, 33 pingat perak dan 27 pingat gangsa membabitkan 21 kategori berlainan bermula daripada peralatan dan pakaian sehingga kepada pengangkutan dan pelancongan.

Jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama paling disambut pengguna” Johnny Mun, Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia

Pilihan pengguna

Antara jenama lain yang memenangi pingat emas adalah Nike, 100 Plus, Toyota, Maxis, Taylor’s University College, Gardenia, Dynamo, Sime Darby Property dan McDonald’s.

Mengulas perkembangan itu, Presiden 4As, Datuk Johnny Mun, berkata 106 pemenang dalam pelbagai kategori dipilih oleh 6,000 pengguna dari seluruh negara.

Katanya, pada anugerah kali ini, 4As mendapati media sosial membawa perubahan dalam trend komunikasi pemasaran dan ia menjangkakan perubahan itu adalah sesuatu yang kekal dan bukan bersifat sementara atau bermusim.
“Apa yang penting, kita sebagai peserta industri khususnya pemilik jenama dan pengiklan perlu memahami bagaimana media baru berfungsi dan bagaimana ia memberikan kesan kepada masyarakat secara realiti.

“Selain itu, kami turut mendapati bahawa jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam menyampaikan mesej dan penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama yang paling disambut pengguna,” katanya kepada media selepas acara pengumuman pemenang Anugerah Jenama Putra 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dr Wong Lai Sum serta ketua agensi pengiklanan kreatif, pemimpin jenama utama dan ketua pegawai eksekutif pelbagai syarikat terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Mencetus inspirasi

Wong berkata, syarikat perlu meneruskan tumpuan mereka terhadap usaha pengiklanan jenama sebagai kaedah utama untuk meningkatkan jualan, membina identiti boleh dipercayai dan meraih keyakinan pengguna.

“Setiap jenama mesti mempunyai kisah tersendiri yang boleh disampaikan dengan menarik dan mencetus inspirasi. Selain itu, kekalkan prinsip berpegang pada janji, kotakan janji itu dan anda akan menambat hati pengguna dalam jangka panjang,” katanya.

- BERITA HARIAN

 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search