kakinovel.com - Beli novel secara dalam talian

- 10.38
advertise here

Ketika mula-mula menjalankan perniagaan penerbitan novel, Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd. (Kaki Novel), Rizal Abdullah, 45, menerima banyak e-mel yang mahu membeli buku secara kiriman pos.

Atas sambutan yang diterima, dia menjadikan laman webnya, www.kakinovel.com mesra pengguna untuk membeli dan melihat-lihat setiap novel yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Maklumat seperti biodata penulis, tajuk-tajuk koleksi novel dan informasi terkini diletakkan pada lajur atas secara teratur serta mudah dilihat.

Jika mahu membuat pembelian, cara pembayaran dan penghantaran ditunjukkan. Setakat ini, pembeli boleh menggunakan akaun Maybank atau Ambank.

Sebaik penyata pembayaran dihantar menerusi faks atau e-mel kepada Kaki Novel, semua buku yang ditempah dibungkus dan dipos pada hari yang sama.

Mesej ringkas (SMS) dihantar sebagai pemberitahuan penghantaran telah dibuat sekali gus nombor penjejakan bungkusan diberitahu.

Kaki Novel mempunyai kira-kira lapan orang pekerja menguruskan bahagian pembelian dalam talian. Secara purata, mereka mengepos lebih kurang 250 buah buku dengan belanja pos laju sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, Kaki Novel juga mempunyai khidmat pelanggan yang melayan sebarang kesulitan pembaca yang beroperasi dari pukul sembilan pagi hingga lima petang.

“Pembelian dalam talian memudahkan para pembaca yang tinggal jauh dari kedai buku dan menjimatkan masa sekali gus menjadikan buku senang didapati,” kata Rizal Abdullah, 45, ketika ditemui di ibu pejabat Kaki Novel di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Setakat ini, tempahan pembeli paling banyak secara dalam talian datang dari Kuala Lumpur diikuti Sabah, Sarawak, Selangor, Johor dan Perak.

Julat usia pembeli kaedah itu pula sekitar 20 hingga 60 tahun dan berbilang latar belakang profesion.

Akui Rizal, pasaran terbuka yang dijual di kedai-kedai buku masih lagi menguasai pecahan terbesar penjualan novel, sekitar 20 peratus daripada total keseluruhan pula dibeli menerusi internet.

Sebagai contoh, hasil karya Suri Ryana, Maid terjual antara 13,000 hingga 15,000 salinan dari bulan April 2011 sampai November 2012, manakala pasaran terbuka mencecah 100,000 salinan buah buku dalam tempoh yang sama.

Biarpun peratusan jualan kecil, Rizal memberitahu, kaedah tersebut amat perlu bagi memenuhi kehendak pelanggan yang semakin hari semakin berubah gaya hidup.

“Kini, pesanan melalui laman sosial, Facebook turut mula mendapat perhatian dan bertambah, mungkin disebabkan sifatnya yang boleh dikemas kini pada masa nyata.

“Jadi, setiap produk baharu boleh diberitahu di Facebook,” kata Rizal lagi.

Dia menjangkakan pasaran dalam talian bakal berubah dan meningkat naik dalam tempoh enam tahun lagi. Barangkali, berlaku perubahan medium kepada e-buku.

Bagi menggalakkan jualan dalam talian internet, Kaki Novel memberi diskaun sebanyak RM4 untuk setiap judul buku dan pengiriman pos percuma.

Kaki Novel mula serius menjadikan laman web sebagai salah satu medium perniagaan pada tahun 2008 dengan menerima tempahan dalam talian.

Pada tahun yang sama, alamat laman web syarikat penerbitan itu juga mempunyai nama domain sendiri dan tidak menggunakan platform blog.

Sememangnya, platform blog sangat menjimatkan berbanding memiliki nama domain, tetapi terdapat kekangan pada bahan yang dapat disiarkan.

Menggunakan domain sendiri membolehkan laman web diuruskan lebih sistematik dan teratur berdasarkan bahagian laman yang diperlukan.

“Paling penting keyakinan orang ramai untuk membeli produk dan dapat memberi penjenamaan kepada syarikat,” ujar Rizal lagi.

Dalam pada itu, Konsultan Pembangunan Perniagaan Serverfreak Technologies Sdn. Bhd. (Serverfreak), Sherene Gan, 28, berkata, terdapat beberapa isu yang boleh berlaku jika ahli perniagaan menggunakan platform blog dalam mempromosi barang jualan.

Antaranya, berlaku masalah hak milik kerana ia bukan sepenuhnya dimiliki oleh tuan laman blog dan tiada kawalan terhadap kandungan 100 peratus serta berlaku berkemungkinan bahan dipadamkan.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai nama domain sendiri, terdapat masalah orang tengah mengambil margin keuntungan yang tinggi dan jika terdapat masalah, ia terpaksa dirujuk kepada syarikat pengehosan.

Secara asasnya, untuk membina sebuah laman web, individu perlu membeli pengehosan web dan nama domain. Serverfreak merupakan antara syarikat pengehosan web di Malaysia.

Pengehosan web umpama tapak rumah dan pemilik perniagaan atau blogger yang prolifik disaran memiliki nama domain sendiri.

Pengehosan web bermaksud pemilik menyewa ruang server milik syarikat pengehosan untuk menyimpan fail dan data laman web supaya dapat dilayari oleh orang ramai di alam maya.

Serverfreak mempunyai pusat data di dua negara iaitu di Dallas, Amerika Syarikat dan Cyberjaya, Malaysia serta menguruskan kira-kira 500 buah server (pelayan).

Nama domain merupakan alamat laman web yang membolehkan orang ramai melakukan pencarian dalam enjin carian atau terus ke laman web atau blog.

Harga domain .com, .net, .biz dan .org lebih kurang RM40 setahun, manakala .com.my dan .my antara RM100 hingga RM120 setahun.

“Selepas mempunyai kedua-dua ini, laman web boleh dibina mengikut kehendak. Ia boleh dibina sendiri atau mengupah pereka laman web.

“Apabila siap mereka bentuk, fail reka bentuk dimuat naik ke akaun pengehosan web yang disewa,” cerita Sherene ketika ditemui di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur.

Terdapat beberapa jenis pengehosan web disediakan di Serverfreak seperti Pengehosan Web Kongsi iaitu beberapa laman web berada dalam satu server.

Setiap satu diletakkan pada bahagian atau seksyen masing-masing bagi memastikan semua data berada dalam keadaan terasing antara satu sama lain.

Perkhidmatan ini merupakan paling jimat sekali gus setiap laman web dapat berkongsi kos penyelenggaraan server. Dalam sebuah pelayan boleh memuatkan kira-kira 200 akaun.

Bagi yang memerlukan banyak fungsi seperti e-mel atau mempunyai trafik pelawat yang tinggi selain penggunaan bahan siaran yang berkapasiti besar seperti foto dan video seperti laman web perdagangan, Pelayan Peribadi Maya (VPS) serta Perkhidmatan Pengehosan Khusus (DHS) amat sesuai.

Pemilihan jenis pelayan bergantung kepada jumlah ruang kapasiti penyimpanan data yang dimahukan dan akses lebar jalur yang dikehendaki.

“Pelayan di Serverfreak sesuai dengan semua jenis laman web dan boleh digubah seperti dijadikan laman perdagangan dengan meletakkan fungsi e-cart atau hanya paparan maklumat syarikat,” terang Sherene lagi.

Bayaran sewa pelayan setahun sekitar RM180 hingga RM499 bergantung kepada keperluan.

Serverfreak menguruskan kira-kira 11,000 domain dan hampir 10,000 pelanggan di seluruh dunia. Ujarnya, terdapat pelanggan yang mahukan fail laman web mereka disimpan di pusat data di Malaysia.

Barangkali, ia bertujuan untuk mengukuhkan perniagaan di sini sekali gus memberikan kemudahan kepada penggunanya supaya mudah mengakses laman web.

Antara pelanggan dari luar Malaysia ialah Jepun, Thailand dan Singapura, manakala dari dalam negara ialah SEGi Berhad, IJM, Bolton Berhad serta Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad.

Selain itu, blogger seperti justkhai.com, RedMummy.com dan Budiey.com turut menggunakan domain sendiri oleh Serverfreak.

Bagaimanapun, pengehosan web dan perkomputeran awan adalah dua perkara yang sangat berbeza, ujar Sherene menolak sebarang kekeliruan antara kedua-duannya.

- KOSMO!



Advertisement
 

Start typing and press Enter to search