Kadar dividen SSPN-i 4.25 peratus bagi 2012

- 10.30
advertise here
Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebanyak 4.25 peratus bagi tahun 2012.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kadar tersebut merupakan yang tertinggi sepanjang penubuhan SSPN-i sejak 2004.

"Pemberian dividen itu diharap menjadikan SSPN-i lebih berdaya saing dan menarik lebih banyak pembukaan akaun serta penambahan deposit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Selangor, Sahabat PTPTN, Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia (BPM1M) dan Simpanan Mega serta Perdana SSPN-i di sini.

Beliau berkata, sehingga 28 Februari lalu, jumlah pembukaan akaun SSPN-i mencatatkan kira-kira 1.52 juta akaun dengan jumlah deposit RM840.35 juta.

Menurutnya, bilangan akaun SSPN-i di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 300,769 akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM233.86 juta.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, PTPTN yakin dapat mengukuhkan sumber kewangannya dan beroperasi tanpa bergantung kepada institusi kewangan menjelang 2019.

Katanya, keyakinan itu berasaskan beberapa faktor antaranya bayaran kutipan balik yang memberangsangkan, peningkatan simpanan SSPN-i dan dana Tabung Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia (BPM1M).

"Melalui tabung BPM1M, para pelajar miskin daripada keluarga berpendapatan rendah hanya perlu meminjam sebahagian pembiayaan PTPTN untuk menampung kos pengajian sementara pelajar yang mempunyai SSPN-i boleh mengeluarkan simpanan mereka," katanya.

"Perkara itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan PTPTN dan pelajar juga hanya perlu meminjam separuh daripada PTPTN," katanya.

- UTUSAN


Advertisement
 

Start typing and press Enter to search