Rabu, 20 Maret 2013

‘Hero’ Kg. Senalang Bunuh Militan S.u.l.u Bakal Terima Pengiktirafan

PADA pagi 3 Mac lalu, penduduk kampung  bertindak nekad memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam sebelumnya.

Dalam insiden 7 pagi itu, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama.

Selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa “saya yang menembak polis malam tadi”.

Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang.

Penduduk kemudian mengambil keputusan menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung tersebut.
ayie-puteragahara_penjenayah+sulu_semporna (1) 
Mynewshub.my semalam berkunjung semula ke kampung tersebut yang rata-ratanya adalah nelayan, petani dan pekebun ladang kelapa sawit.

Turut bersama kami ialah Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah.

Ketibaan kami disambut penduduk kampung yang tak sabar-sabar menunggu Mohd. Firdaus untuk meluahkan perasaan mereka.

Ini kerana ramai yang mula bimbang sekiranya pihak pengganas datang semula ke situ dan membalas dendam.
Namun penjelasan Mohd. Firdaus ternyata melegakan hati penduduk.
DSC01318
” Kami (polis) berjanji akan bersama-sama penduduk di sini untuk mempertahankan kedaulatan negara kita, lebih daripada itu, sebuah balai mungkin akan diluluskan untuk dibina di sini dan kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir.

Sementara itu Mohd. Firdaus memberitahu PDRM sangat menghargai jasa penduduk kampung berkenaan di atas semangat keperwiraan mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa berhadapan dengan pengganas terbabit.

Katanya, ia merupakan satu pengorbanan luar biasa kerana musuh yang mereka hadapi itu bukan calang-calang, malah lengkap dengan senjata automatik.

” Saya berpendapat yang jasa mereka perlu dipertimbangkan untuk diberi pengiktirafan yang sewajarnya, ia akan diumumkan nanti bila tiba masanya,” katanya. - Mynewshub.my


Top