Festival Extrem Ekspresi Diri Tanpa Batas

- 15.55
advertise here
MEMETIK kata segolongan pelawat yang hadir ke pesta Burning Man sebagai kemestian setiap tahun, 'untuk menjelaskan kepada orang yang tidak pernah ke situ seolah-olah mencuba untuk menerangkan kepada orang buta tentang warna'. Sampai begitu sekali uniknya festival tersebut!

Sekali setahun, puluhan ribu manusia berhimpun di gurun Black Rock yang tandus di Nevada, Amerika Syarikat. Di hamparan luas dan kering yang juga digelar The Playa itu, mereka membina sebuah metropolis khayalan yang dinamakan Black Rock City.

Pesta yang bermula pada hari Isnin, seminggu lebih awal sebelum cuti umum iaitu Hari Buruh Amerika itu mendapat namanya daripada ritual membakar binaan arca figura manusia yang besar pada malam terakhir.

Binaan besar seperti istana dan kediaman yang diperbuat daripada material pakai buang, monumen serta kenderaan juga tidak terkecuali untuk dimusnahkan dalam api. Itupun dengan kehendak pemiliknya.

Sambutan yang dipercayai bermula sejak zaman dahulukala tersebut dijayakan komuniti seni yang mengekspresi diri serta kreativiti secara ekstrem.

Menghadiri pesta Burning Man sememangnya memerlukan seseorang itu memiliki keberanian kerana pesta itu dianggap sesetengah pihak sebagai tempat menzahirkan keinginan imaginasi yang melampau.
Perkara yang dialami dan dilihat di tapak festival itu mungkin mengejutkan bagi individu yang kurang bersedia menghadapi faktor cuaca panas, aktiviti lasak, budaya erotik dan ritual pelik yang amat jarang ditemui dalam peradaban manusia moden.

Di Black Rock City, tiada pihak bakal terasa terasing kerana mereka bebas menonjolkan diri sama ada melalui fesyen dan tingkah laku. Di situ, pengunjung akan menghabiskan masa berhibur selain mengikuti bengkel kemahiran bertema, projek seni, mendirikan struktur bersaiz mega, mempamerkan kenderaan yang diubah suai dan juga mengecat tubuh dengan pelbagai corak serta warna.

Festival Burning Man mungkin adalah satu-satunya sambutan besar yang tidak mempunyai penonton pasif. Ini bermakna, setiap pengunjung secara langsung perlu berdaftar menjadi entiti kreatif yang memeriahkan pesta berkenaan.

Sepanjang pesta itu juga, perdagangan wang adalah dilarang sama sekali. Setiap orang hadir bersama sumber keperluan masing-masing dan tiada jualan dibenarkan. Sebagai ganti, pihak penganjur memperkenalkan konsep pertukaran barangan atau sistem barter.

Dengan mengamalkan etika 'jangan tinggalkan jejak', mereka meninggalkan lokasi tersebut pada hari terakhir tanpa sebarang kesan sebuah pesta telah dilangsungkan di situ. Segala sampah, kesan pembakaran dan binaan sementara, semuanya akan dibersihkan atau dibawa pulang untuk menjadikan gurun itu kembali kosong seperti tidak pernah diusik.










Advertisement
 

Start typing and press Enter to search