Hidup bersederhana elak sikap dicela

- 03.57
advertise here
Dalam kehidupan hari ini, adakah wang boleh membeli segala-galanya atau benarkah wang menjadi punca segala-galanya.

Meniti arus kehidupan hari ini yang serba mencabar, wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya.

Dalam hal ini, sukar untuk membayangkan kehidupan segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mencari rezeki, tetapi sudah biasa berdepan dengan situasi ketiadaan wang. Namun, hakikatnya keadaan ‘terputus wang’ juga turut berlaku kepada mereka yang mempunyai kerjaya.

Keadaan ini berpunca kegagalan mengurus kewangan hingga menyebabkan mereka berhutang atau perbelanjaan melebihi pendapatan.

Pengurusan kewangan berhemat

Hutang adalah jalan penyelesaian sementara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, hutang boleh menyebabkan hidup menjadi lebih buruk seperti bankrap. Justeru, Islam menganjurkan umatnya mengatasi masalah menerusi pengurusan kewangan secara berhemat dan mengelak sikap boros.

Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana terutama dalam aspek perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin atau ditumpukan kepada perkara yang perlu saja.

Membeli sesuatu yang tidak diperlukan tanda sikap berlebih-lebihan. Sikap itu dicela dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141)

Islam turut menggalakkan umatnya menabung dan berjimat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Simpan sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).


Perbuatan berbelanja melebihi keupayaan kewangan melambangkan sikap lupa diri. Dalam hal ini, umat Islam perlu menyedari harta dimiliki anugerah daripada Allah SWT untuk dibelanjakan untuk tujuan kebaikan.


Belanja boros

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas.” (Surah al-Israk, ayat 26)

Demikianlah Islam memberikan panduan dalam pengurusan sumber kewangan dan pendapatan. Jika tips yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunah ini diabaikan, maka ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan umat.

- BERITA HARIAN


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hidupbersederhanaelaksikapdicela/Article



Advertisement
 

Start typing and press Enter to search