Rabu, 10 April 2013

Wanita menopaus tulang rapuh


Walaupun terdapat rawatan lain, kebanyakan wanita mengalami kerapuhan tulang kerana mereka tidak menjalani terapi sepenuhnya.

Apa yang pasti, osteoporosis adalah satu penyakit yang semakin meningkat seiring dengan pertambahan umur seseorang dan peningkatan populasi di seluruh dunia.

Profesor Emeritus Ubat dan Epidemiologi, University of California San Francisco, Dr. Steven R. Cumming berkata, di rantau Asia, termasuk Malaysia, kebanyakan pesakit osteoporosis tidak dirawat kerana mereka tidak disaring.

“Antara penyebab ketara ialah kekurangan fakta epidemiologi dan ekonomi yang merangkumi isu kesihatan lain yang lebih penting dan mendapat perhatian," katanya.

Ujarnya, tulang dalam badan manusia sentiasa melalui proses pembaharuan dan pembentukan semula.

“Apabila umur meningkat sehingga usia 30 tahun, tulang ketika ini mengalami pembaharuan dan pembentukan berbanding menjadi rapuh.

“Namun, dari semasa ke semasa, keretakan pada tulang akan muncul lebih cepat berbanding pembentukan tulang baharu yang menyebabkan potensi untuk menghidap osteoporosis semakin tinggi," katanya.

Tambahnya lagi, oleh kerana osteoporosis adalah sejenis penyakit yang dihidapi dalam diam tanpa dapat dikesan sehingga berlaku keretakan pada bahagian tulang, langkah pencegahan awal boleh membantu pesakit memahami apa yang diperlukan oleh badan.

“Keretakan mahupun masalah pada bahagian pinggul akan memberi kesan kepada kualiti hidup dan mengubah corak kehidupan wanita tersebut.

“Antara faktor yang terlibat adalah apabila berlaku peningkatan pada umur wanita, kurang berat badan selain mempunyai sejarah tulang patah, kurang kalsium dan juga kandungan vitamin D dalam badan pada tahap rendah," katanya.

Ujarnya, wanita selepas menopaus mempunyai lebih risiko untuk menghidap osteoporosis disebabkan pengurangan hormon estrogen yang mampu membendung menopaus selain berperanan melindungi tulang dalam badan.

“Bilangan pesakit osteoporosis yang terdapat di hospital adalah lebih banyak berbanding penyakit lain termasuk diabetes, dan barah payu dara.

“Kesakitan, hilang kemampuan dan kurang keyakinan disebabkan osteoporosis akan memberi kesan kepada kesihatan mental dan mengurangkan kualiti hidup," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun kajian menyeluruh tentang osteoporosis dilakukan selama 10 tahun,

namun jumlah pesakit mengalami masalah tulang rapuh semakin meningkat.

“Kajian tersebut menunjukkan sembilan juta pesakit osteoporosis baharu akibat kerapuhan tulang pada tahun 2000.

“Daripada jumlah tersebut, 1.7 juta melibatkan bahagian lengan, 1.6 juta bahagian pinggul dan 1.4 juta mempunyai simptom keretakan pada bahagian vetebrata tulang yang lain.

“Kajian tersebut menunjukkan lebih 50 peratus pesakit osteoporosis bahagian pinggul akan muncul di Asia pada tahun 2050," katanya.

Bagi membantu pesakit wanita yang mengalami osteoporosis selepas menopaus, Prolio (denosumab) telah dilancarkan di Malaysia sebagai salah satu rawatan berkesan.

Pengarah Pemasaran, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd., Jay Soriano berkata, denosumab iaitu suntikan subkutaneus setiap enam bulan merupakan salah satu rawatan untuk pesakit yang inginkan rawatan selesa dan berkesan.

“Denosumab merupakan terapi pertama yang diluluskan secara khusus untuk menyasar RANK Ligand, iaitu pengawal atur osteoklas (sel yang merapuhkan tulang).

“Ubat ini juga membantu menghentikan proses kerapuhan tulang rangka lalu menghasilkan kepadatan tulang yang lebih tinggi dan kuat.

“Fungsi ini juga mengurangkan risiko kerapuhan pada tulang belakang, pinggul, dan kawasan tulang bukan vertebrata yang lain," katanya.

- UTUSAN
 

Top