Raja Lawak 7 Astro Bermula 12 April 2013

- 11.42
advertise here


Seramai 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.

Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.

Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.

Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.

Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.

“Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti,” jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.

Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.

“Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber,” ujarnya.


Masih relevan

Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.

“Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.

“Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi,” ujarnya lagi.

Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.

Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.

Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Berikut adalah senarai peserta Raja Lawak 7:
1. Kumpulan Bora-SIngapura
2. Kumpulan Kintan- Selangor
3. Kumpulan Pahat- Putrajaya
4. Kumpulan Gamat-Perak
5. Kumpulan Taras- Perak
6. Kumpulan Okay-Selangor
7. Kumpulan Sakan-Perlis
8. Kumpulan Tuah-Kedah
9. Kumpulan Wala-Sabah
10. Kumpulan Xtra-Kedah
11. Kumpulan Ganu-Terengganu
12. Emy-Pahang
13. Ali-Singapura
14. Boy-Sabah
 
- KOSMO!

Anda juga boleh menonton rancangan-rancangan menarik Astro secara online di www.astrogempak.com.my

 
 

 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search