Pos Malaysia bakal laksanakan peti surat digital

- 09.04
advertise here


Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) bakal melaksanakan perkhidmatan peti surat digital dalam usaha mempelbagaikan produk seiring dengan perkembangan teknologi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, perkhidmatan itu akan dilaksanakan bagi menangani masalah penurunan kiriman surat yang secara purata menurun dua hingga tiga peratus setiap tahun.

Tambah beliau, perkhidmatan peti surat digital ini masih dalam proses pelaksanaan dan akan dijalankan sepenuhnya pada suku keempat tahun hadapan.

Menurutnya, produk peti surat digital ini akan memudahkan pelanggan melunaskan segala pembayaran bil dalam satu portal yang akan dikendalikan oleh Pos Malaysia nanti.

"Ini bermakna pelanggan tidak perlu pergi ke mana-mana pejabat pos untuk membayar bil, tetapi boleh melunaskan pembayaran bil secara dalam talian tanpa perlu membuka banyak portal.

"Melalui peti surat digital ini, bagi pelanggan mempunyai 10 bil yang perlu dibayar, mereka hanya perlu membuka satu portal sahaja dan membuat pembayaran melalui servis Pos Online," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah utama Peraduan Senang Menang@POS di Kuala Lumpur.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi One-Stop Solution, Datuk Mearia Hamzah.

- UTUSAN
 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search