Pemegang kad MyKas dan Pemastautin Tetap tidak berhak mengundi

- 12.24
advertise here

Pemegang kad pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) dan Pemastautin Tetap (PR) yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berhak mengundi seperti pemegang kad pengenalan Malaysia (MyKad).

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pendaftaran, Datuk Jariah Mohd Said, dalam satu kenyataan semalam, menafikan sama sekali isu dibangkitkan beberapa media sosial kononnya MyKas dikeluarkan kepada warga asing untuk tujuan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Dakwaan ini juga ternyata berniat jahat terhadap kerajaan, khususnya JPN dan dilihat sebagai usaha untuk mengelirukan orang ramai.

“Sebelum 2009, semua kad pengenalan menggunakan kad sama berwarna biru, sama ada kepada pemegang bertaraf Warga Negara atau Bukan Warga Negara.

Ada perbezaan di muka depan

“Bagaimanapun, bagi kad pengenalan MyKas, terdapat perbezaan di muka depan iaitu mempunyai catatan tarikh luput, catatan Pemastautin Sementara dan terdapat lima segi tiga berwarna hijau,” katanya.

Jariah berkata, MyKas dikeluarkan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) kepada seseorang yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau belum ditentukan.

Beliau berkata, pada 2008, MyKas yang baru dikeluarkan berwarna hijau sepenuhnya dengan mengekalkan catatan Pemastautin Sementara dan dicatat sebagai Bukan Warga Negara pada kad berkenaan serta mempunyai tempoh sah laku selama lima tahun, selain boleh diperbaharui.

Katanya, status sebagai Pemastautin Sementara bermakna mereka bukan warga Malaysia, sekali gus pemiliknya tidak mempunyai hak untuk mengundi.

- BERITA HARIAN

 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search