Kanser kolon ancam wanita

- 11.02
advertise here
Wanita perlu peka dengan perubahan seperti buang air besar yang disertai darah, perubahan dalam corak pembuangan air besar seperti ada rasa tidak puas dan kesakitan di bahagian perut.

Fakta ini diberitahu oleh Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi dari Kumpulan Pakar Perubatan Sime Darby, Datin Dr. Sharmila Sachitananadan, yang menjelaskan, di negara ini kanser kolon merupakan kanser nombor satu bagi lelaki dan nombor dua bagi wanita.

Biarpun nombor dua untuk wanita iaitu selepas kanser payu dara, ini merupakan satu penyakit yang semakin mengancam nyawa golongan tersebut.

“Memang ini satu masalah besar, namun orang ramai masih belum begitu sedar mengenainya.

“Perlu diberitahu kepada wanita bahawa kanser kolon adalah satu penyakit yang boleh diubati dan boleh dicegah.

“Sebab itu saya amat menyarankan wanita yang berusia 50 tahun ke atas menjalani saringan secara berkala.

“Kalau dilihat di negara maju, saringan awal penyakit ini berupaya menyelamatkan nyawa lebih 50 peratus wanita di Eropah," ujar Dr. Sharmila yang ditemui di Pusat Kanser Sime Darby Medical Centre, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, di Malaysia hanya kira-kira 10 peratus sahaja wanita menjalani saringan bagi mengesan kanser kolon.

Golongan wanita perlu sedar bahawa ketika usia mereka menginjak ke 40dan 50 tahun banyak perubahan yang berlaku dan jangan terlalu bersangka baik dengan mengatakan adalah sesuatu yang normal untuk mengalami ketidakselesaan pada usia tersebut.

“Memang wanita sudah biasa menanggung pelbagai simptom kesakitan dan stigma pada wanita yang lebih risau kanser payu dara kanser servik ‘mematikan’ pemikiran mereka bahawa mereka turut boleh terkena kanser kolon.

“Selain itu, masih ramai beranggapan kanser ini hanya dihidapi oleh lelaki.

“Berdasarkan kajian, saya mendapati 30 peratus wanita malu untuk mendapatkan rawatan, manakala 20 peratus lagi takut dan selebihnya tidak mempunyai maklumat secukupnya tentang penyakit ini," ujar beliau yang juga merupakan pensyarah perubatan.

- UTUSAN

Advertisement
 

Start typing and press Enter to search