Saluran pernafasan sempit, Harish perlu RM9,000

- 20.06
advertise here


Ketika orang lain menyambut kelahiran bayi dengan gembira dan bahagia, pasangan suami isteri Hasril Abu Hassan, 35, dan Nor Fariza Daud, 29, hanya mampu menahan air mata apabila bayi mereka, Harish Ar Rizqin, disahkan menghidap saluran pernafasan sempit, tiga bulan lalu.

Sungguhpun ujian besar itu mampu mereka hadapi dengan tabah dan sabar, pasangan itu mengakui ada ketikanya mereka tidak mampu melihat penderitaan ditanggung Harish.

Harish.

“Harish tak banyak ragam, tapi saya tak sampai hati tengok dia.

“Kalau tanpa bantuan mesin oksigen dia tak boleh bernafas sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, baru-baru ini.

Harish dilahirkan pada 31 Oktober 2012, ketika usia kandungan Nor Fariza melewati tarikh jangkaan, iaitu 41 minggu.

 Bacaan denyutan jantung yang merosot dan lemah memaksa doktor melakukan pembedahan ke atas Nor Fariza.

“Waktu dikeluarkan, Harish langsung tak menangis tapi dia nampak normal macam bayi lain.

"Dia tak tunjuk kelainan cuma bila dah balik rumah dia kerap batuk dan selesema. Suara dia pun perlahan.

“Saya kena bagi susu guna sudu sebab Harish mudah tersedak sampai susu keluar ikut hidung,” sambung Nor Fariza.

Jantung berhenti

Mengimbas peristiwa kira-kira tiga bulan lalu, Nor Fariza berkata, wajah Harish tiba-tiba bertukar biru kehitam hitaman kira-kira jam 5 petang, 9 Disember tahun lalu.

Harish kelihatan sukar bernafas sehingga jam 7 malam. Ketika itulah nafas Harish tiba-tiba berhenti dan mata bayi itu terbeliak ke atas.

Nor Fariza panik. Dia dan suami membawa Haris ke HTAR. Alangkah tersentak jantung Nor Fariza dan Hasril apabila doktor memaklumkan jantung dan nadi Harish sudah berhenti.

Doktor melakukan rawatan kecemasan mengepam jantung untuk membolehkannya berfungsi semula.

Nasib mereka baik bila rawatan itu berkesan dan Harish segera ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Doktor turut menjalankan ujian imbasan MRI untuk  pastikan tiada kecederaan otak sewaktu nafasnya terhenti termasuk membuat pemeriksaan organ penting seperti paru-paru dan hati.

“Air tulang sum sum turut diambil untuk ujian. Masa tu doktor jangka Harish menghidap jangkitan paru-paru sebab dalam paru-paru dia ada kahak dan lendir.

“Lebih tiga minggu di ICU Harish dibenarkan pindah ke wad biasa namun masih memerlukan mesin oksigen untuk pernafasan. Dia tidak betah bernafas sendiri,” katanya.

Alami bengkak hati

Kini, setelah tiga bulan setengah bertarung nyawa dengan kehidupannya, Harish disahkan mempunyai saluran pernafasan sempit; mengakibatkan organnya gagal mengepam oksigen dengan baik.

Harish turut disahkan mengalami bengkak hati dan memerlukan pemerhatian rapi.

“Buat masa ini, Harish menggunakan mesin oksigen milik hospital. Kami difahamkan kos mesin adalah RM9,000.

"Mesin yang dimaksudkan (Oxygen Concentrator Machine dan Suction Machine) lebih selamat dan sesuai digunakan di rumah.

“Kalau guna mesin yang ada tangki gas macam di hospital, ia mungkin murah tapi tidak sesuai untuk kegunaan di rumah,” katanya.

Selain Harish, dua abangnya; Harish Ar Rayyan, 3, dan Harish Al Darwish, 2, turut memerlukan perhatian di rumah.

Justeru, dengan adanya mesin oksigen sendiri harish tidak perlu berkampung di hospital setiap hari.

Ketika kunjungan Sinar Harian ke HTAR, Harish difahamkan ada melalui proses ujian membuka mesin oksigennya untuk melihat keupayaan bayi itu bernafas sendiri.

Bagaimanapun, Harish sering muntah dan tidak dapat bernafas dengan baik, sehingga menyebabkan wajahnya bertukar kebiru-biruan. Dia terpaksa dimasukkan ke hospital semula.

Dalam pemantauan dan ujian pakar ENT (Hidung, mulut dan telinga), Harish perlu diberi perhatian lanjut memandangkan jantungnya pernah berhenti sebelum ini. Ia bagi memastikan tiada masalah lain lanjutan daripada jantung terhenti itu.

Harish turut menjalani ujian kromosom dan sawan.

“Mata Harish tak respons pada pergerakan. Dekat macam mana pun tangan kita pada mata dia, dia buat tak tahu saja.

"Biasanya umur 14 hari bayi dah boleh nampak atau sekurang-kurangnya berkedip bila diagah.

“Buat masa ini doktor maklumkan untuk selesaikan satu-satu dulu. Lepas masalah paru-paru Harish diketahui, doktor akan buat pemeriksaan berkaitan matanya pula,” luah Nor Fariza.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban adik Harish serta membantunya mendapatkan mesin oksigen boleh hubungi Hasril Abu Hassan di 019-2079047 dan melalui akaun Maybank - 162058014436.

- SINAR HARIAN


Advertisement
 

Start typing and press Enter to search