Peminat Fanatik Buat "Najwa Latif" Risau

- 17.30
advertise here
Penyanyi yang mencipta fenomena menerusi lagu ‘Cinta Muka Buku’, Najwa Latif mendedahkan dia mempunyai seorang peminat fanatik di Singapura. Jelas penyanyi itu, peminat lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja untuk bertemu dengannya jika mendapat tahu Najwa berada di sekitar Johor Bahru atau Singapura.

Biarpun tindak-tanduk peminat berusia 15 tahun itu kadangkala mencemaskan Najwa, namun penyanyi ini memberitahu dia masih boleh berhadapan dengan situasi itu selagi peminat terbabit tidak bertindak di luar kawalan.

“Setakat ini saya boleh lagi menghadapi kerenah dia sebab dia tidak bertindak di luar kawalan. Lagipun saya mempunyai pengurus yang boleh mengawal situasi sekiranya peminat itu mahu berbuat apa-apa saya tidak punya masalah dengan dia. Cuma kadang-kadang perbuatan dia agak di luar jangkaan, contohnya baru-baru ini dia sanggup menunggu saya di sebuah stesen radio dari jam 6.00 petang  hingga jam 12.00 tengah malam semata-mata hendak berjumpa dengan saya.  Selain itu, dia juga mahu mengambil tahu serba-serbi tentang saya. Dia juga ada buat fanpage saya di laman Facebook,” dedah Najwa yang ditemui pada sesi Star Chat GUA baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Najwa memberitahu dia kini sibuk dengan proses pembikinan album terbaru selain sibuk dengan siri ‘Jelajah Sahabat’ di seluruh negara.

“Untuk album kedua ini saya mahu muatkan 12 buah lagu kesemuanya. Buat masa ini saya sudah mempunyai kira-kira lapan buah lagu termasuk sebuah lagu Inggeris berjudul Only Yours. Lagu ini sudah lama saya cipta dan saya ada muat naik ke laman YouTube untuk tatapan peminat. Ramai yang suka dan mereka minta saya muatkan dalam album terbaru.

Tentang konsep album, terus-terang saya katakan buat masa ini saya masih belum fikirkan tentang konsep. Tunggu saya siapkan semua lagu dulu. Tapi rasanya konsep album kali ini tidak jauh beza dengan konsep album terdahulu,” ujar Najwa lagi.

Buat peminat Najwa, anda  boleh bertemu dengan penyanyi ini di siri ‘Jelajah Sahabat’  yang akan datang di Hipermarket Giant pada 30 Mac ini. Manakala pada 14 April dan 27 April, Najwa dan sahabat-sahabatnya iaitu, iamNEETA, Deanna Hussien, The Alif dan House Of Five akan berada di Mydin Melaka dan Selayang Mall, Kuala Lumpur.http://www.gua.com.my
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search