Maya Karin  
Maya Karin
Kata orang, sementara masih hangat di pasaran, gunakan peluang yang ada dengan sebaiknya.

Walaupun filem Ombak Rindu sudah setahun ditayangkan dan sudah pun disiarkan di kaca televisyen, namun fenomena yang dicetuskan suatu waktu dulu masih dapat dirasakan sehingga ke saat ini.
Apatah lagi lagu Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan bekas buah hatinya, Adira, baru-baru ini turut berpeluang melayakkan diri ke peringkat Anugerah Juara Lagu 27, lagilah ingatan peminat terhadap filem arahan Osman Ali itu semakin menebal.


Novelnya laris, filemnya pun laku. Disebabkan fenomena yang dicetuskan itu, Cik Normah dapat tahu naskhah tulisan Fauziah Ashari itu bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pula selepas ini.

Pengarahnya siapa lagi kalau bukan Erma Fatima, orang yang sama mengarahkan teater Natrah dan Tun Siti Hasmah, yang baru saja tamat pementasannya malam kelmarin.

Butiran sepenuhnya masih belum dapat dipastikan lagi. Cuma Cik Normah dengar cerita, pelakon filem Ombak Rindu bakal dikekalkan untuk versi teater. Buat masa ini, pihak penganjur hanya menunggu lampu hijau daripada pelakon lelakinya, Aaron Aziz, serta pihak penerbit novel.

Jika semua berjalan dengan lancar, nampaknya kisah cinta menyayat hati itu bakal menggegar pentas IB seperti ia menggegarkan pawagam dengan kutipan yang mencecah lebih RM11 juta. Cik Normah yakin ramai yang ingin menonton kembali penderitaan Izzah akibat penderaan emosi oleh suaminya Haris, serta aksi mengada-ngada Mila.
Harapan Cik Normah, biarlah teater ini menjadi realiti dan bukannya angan-angan kosong semata-mata. Tak sabar Cik Normah nak melihat bagaimana Ombak Rindu di bawah sentuhan Erma. Sebagai seorang wanita, pastinya Erma dapat menyelami karakter Izzah dengan penuh berkesan.

Kalau ada apa-apa perkembangan terbaru mengenai teater itu, janganlah lupa maklumkan Cik Normah dan rakan seperjuangan ya! sumber