Lelong trofi kumpul dana salur kepada mangsa kekejaman Israel
Ada yang menempelak, tidak kurang melabelnya sebagai tidak pandai menghargai pemberian orang, namun Faizal Tahir punya alasan tersendiri untuk melelong trofi dimenangi sepanjang enam tahun di arena seni seperti dikongsikan menerusi Twitter peribadinya, semalam.
Akui penyanyi Sampai Syurga itu, niat yang tersemat sebaik mengikuti berita kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza di bumi Palestin sejak Maal Hijrah lalu mendorongnya berbuat sesuatu demi meringankan beban saudara seagama dan antara caranya adalah menerusi pengumpulan dana.
“Berita Rejim Zionis membedil Gaza dan membunuh insan tidak berdosa termasuk kanak-kanak sangat merobek hati. Sebagai Muslim, saya tidak boleh berpeluk tubuh. Tetapi saya juga bukan jutawan. Saya berharap orang ramai memahami tujuan lelongan ini. Saya yakin pembelinya nanti punya niat sama, selain menjaganya sebaik mungkin.
Dipandang sinis
“Memang ada yang melayangkan pandangan sinis dan mempertikaikan mengapa perlu melelong trofi? Mereka kata, doakan saja dari jauh. Ya, selain berdoa kita perlu berbuat sesuatu. Saya percaya Tuhan memberikan saya rezeki (trofi) ini bersebab dan kini saya memanfaatkannya ke jalan yang baik, iaitu membantu saudara seagama.
“Tidak perlu mempertikaikan keputusan ini, malah saya berterima kasih kepada peminat serta semua penganjur anugerah yang menghadiahkan semua trofi. Saya amat menghargainya. Semoga niat baik saya tidak disalah erti serta dipermudahkan-Nya,” kata bapa kepada empat anak ini.
Menerusi akaun Twitternya semalam, Faizal atau nama sebenar, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 34, meletakkan status: “Saya mahu menjual atau melelong semua trofi milik saya bagi mengumpul dana untuk GAZA. Semua trofi saya”.
Niat disokong isteri, bapa
Mendapat sokongan isteri, Siti Raihanim Noran, katanya, bapanya sendiri, Dr Mohd Tahir, yang juga orang kuat badan bukan kerajaan (NGO) yang punya hubungan dengan pertubuhan di Palestin, Aqsa Syarif, turut terkejut sebaik mendengar niatnya ingin mengumpul dana menerusi lelongan trofi.
“Sebenarnya saya hanya menyatakan hasrat ini kepada isteri dan baru tadi menyampaikan hajat itu kepada ayah. Dia terkejut, tetapi pada masa sama menyokong usaha ini. Saya buat semua ini bukan untuk nama, sebaliknya rasa kemanusiaan selain beramal. Syukurlah kita hidup dalam kemakmuran.
“Bagi yang masih belum memahami mengapa saya berbuat demikian, cuba ikuti perkembangan Gaza yang setiap hari terus bermandi darah. Mendengar dan membaca berita kematian serta bom meledak di sana sini sudah membuat kita sedih, apatah lagi melihat visualnya.
“Inilah saja sumbangan mampu saya lakukan. Buat masa ini saya masih mendapatkan pandangan beberapa individu mengenai kaedah lelongan. Saya ingin merealisasikannya secepat mungkin. Apa pun, masih ramai memberi sokongan dan merestui nawaitu ini,” katanya yang akan menyalurkan hasil jualan itu kepada Aqsa Syarif.
Info:
Antara trofi dimenangi Faizal adalah pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-15, (Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Album, Album Rock Terbaik, Album Terbaik), AIM17 (Album Rock Terbaik, Album Terbaik), Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23 (Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik), AJL25 (Persembahan Terbaik), AJL26 (Tempat Ketiga) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 (Penyanyi Lelaki Popular) selain Shout! Awards 2010 (Vokal Hebat)sumber
Advertisement