FMKL 2011 menampilkan pelbagai kelainan yang cuba ditonjolkan untuk 2011 ini. Sebanyak lima (5) pengisian utama bagi festival yang merangkumi Konsert Utama, Konsert Terbuka @Laman Beringin, Pertandingan, Seminar Muzik dan Jualan dan Pameran Produk Muzik. Pendekatan ke arah penyemarakkan muzik di kalangan generasi muda ditekankan apabila pelbagai ‘genre’ muzik yang bukan sahaja untuk golongan ‘elit’ tetapi pandangan serta minat anak muda menjadi landasan FMKL 2011 kali ini.
Berunsurkan muzik untuk semua rakyat, pendekatan melalui pemilihan artis, serta pengisian program jelas mempertaruhkan tujuan tersebut. Persembahan setiap malam pada 1-3 Julai di Konsert Utama yang bertemakan “Kembara Muzik: Klasik ke Kontemporari” bertujuan mengajak khalayak untuk mengembalikan nostalgia muzik klasik dan meraikan muzik kontemporari di pentas berprestij. Pertaruhan artis veteran hinggalah yang baru menepati tema persembahan muzik klasik ke kontemporari, manakala muzik iringan terdiri dari gabungan pemuzik Malaysian All Stars dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM); Festival Muzik KL mengajak penonton meneroka sejarah perkembangan muzik tanah air dalam satu pengembaraan muzik. Justeru, penampilan nama-nama besar dalam industri seperti Dato’ M. Daud Kilau, Dato’ Khatijah Ibrahim dan bintang-bintang kontemporari dari generasi muda seperti Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, One Nation Emcees, Aizat, Najwa Mahiaddin, Azlan & the Typewriter dan Suki Low mendapat tempat dalam festival kali ini. Manakala barisan kumpulan indie yang sebahagian besarnya mendapat slot bagi Konsert Terbuka @ Laman Beringin sama ada Konsert “unplugged” atau “indie” terdiri daripada Tilu, Father Father, Fauziah Gambus & Band, House of 5, Ayu Jazzrin, Johnny Comes Lately, Asfar Alias dan Cynosure.
Untuk tema yang dipilih, setiap persembahan akan menampilkan konsep Klasik, Nusantara dan Sejagat dalam satu malam selama tiga malam berturut-berturut.
Pada 1 Julai – Penyanyi jemputan seperti Dato’ Khadijah Ibrahim, Dayang Nurfaizah dan Aizat akan menjadi tetamu istimewa manakala One Nation Emcees akan menguasai pentas pada setiap malam dari 1 hingga 3 Julai. Malam kedua iaitu pada 2 Julai, suasana muzik yang berentak ‘soul’ lebih mewarnai dengan penampilan istimewa Najwa Mahiaddin, Suki OIAM, Dato’ M. Daud Kilau, Bahbola dan One Nation Emcees. Malam Ketiga, 3 Julai pula akan memaparkan irama yang pelbagai sifatnya dengan artis jemputan Jaclyn Victor, Azlan & Typewriter, Dato’ M. Daud Kilau dan Bahbola.
Dengan barisan artis yang terpilih dan muzik iringan dari Malaysian All Stars dan OTM di bawah pimpinan Pengarah Muzik Aubrey Suweto; Festival Muzik KL 2011 pastinya menjanjikan satu kelainan yang mengesankan tahun ini apatah lagi dipersembahkan di pentas berprestij, Panggung Sari.
Festival Muzik 2011 juga bakal menjadi satu medium bagi bakat-bakat baru mengetengahkan diri mereka melalui Konsert Laman Beringin yang menampilkan tema seperti “Bintang IPT”, “Unplugged” dan “ Indie” yang akan dilaksanakan sebelum konsert-konsert utama berlangsung. Begitu juga bagi slot Pertandingan @Laman Beringin yang membariskan Pertandingan Akustika Gitar Gempaq, Kl Got Talent dan Cabaran Kompang Challenge yang pastinya akan memeriahkan serta memberi impak baru kepada suasana festival di Istana Budaya pastinya. Manakala slot Seminar Muzik yang berlangsung pada 2 Julai di Auditorium Balai Seni Lukis Negara pula akan menampilkan tokoh-tokoh penceramah dalam bidang muzik seperti En. Fauzi Marzuki – (Bagaimana menghasilkan karya hebat ) En. Norman Abd. Halim (Pemasaran Muzik), En Ong Peng Chu (Muzik dan Masyarakat) dan En Ayob Irahim (Kerjaya Prospek Muzik Tradisional). Yuran Pendaftaran seminar hanya bernilai RM 50 bagi pelajar manakala RM 80 (Orang awam) yang boleh dibayar semasa pendaftaran. Seminar Sehari ini akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang
Wadah (showcase) bagi festival tersebut akan dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur pada 18, 19 dan 25 Jun yang menampilkan beberapa artis yang terlibat dalam festival untuk memberikan sedikit gambaran kepada khalayak tentang Festival Muzik KL dan menyemarakkan Kuala Lumpur sebagai kota seniman dan memelihara muzik yang telah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat Malaysia.
JKKN ialah sebuah agensi di bawah KPKK yang menjalankan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia. FMKL 2011 dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya dan diUrus Setiakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Festival Muzik KL melalui laman sesawang rasmi, www.klfestival.org.my yang mula beroperasi mulai 1 Jun.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), YBhg. Dato’ Norliza Rofli dam Tuan Hj Mohamed Juhairi Shaarani, Ketua Pengarah Istana Budaya.
source gua.com.my
Advertisement