APM 2011 : Yuna Tiada Dalam Senarai

- 21.15
advertise here
Anugerah Planet Muzik (APM) yang memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik dari tiga buah negara, Singapura, Malaysia dan Indonesia akan kembali menemui peminat pada 15 Julai ini setelah berehat selama setahun.

Acara yang dinanti-nantikan ini akan kembali ke Singapura setelah dibawa ‘mengembara’ ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2008 dan Pusat Konvensyen Jakarta pada 2009. Kali ini Max Pavilion, Singapore Expo, terpilih menjadi lokasi acara berprestij ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini APM 2011 bakal mempertandingkan 17 anugerah yang terdiri daripada 12 kategori terbaik, empat kategori popular dan satu khas yang dikenali dengan Anugerah Cinta Planet Muzik.

Senarai calon akhir telah pun diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur petang tadi. Setelah diperhatikan, Yuna tiada dalam senarai dan perkara ini telah menimbulkan tanda tanya memandangkan Yuna sangat popular. Malah, telah mendapat beberapa pengiktirafan dalam tempoh dua tahun ini.

Paling membanggakan, Yuna telah menang besar di Anugerah Indusri Muzik ke 17 dengan memenangi empat kategori iaitu Anugerah Artis Baru Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Terbaik AIM.

Bagi menjawab persoalan itu, Pengarah Urusan , Beyond Events (penganjur), Amin Hussen memberitahu Yuna tidak berada dalam senarai bukan kerana dia pihak juri mendapati dia tidak layak, sebaliknya pemilik nama Yunalis Zarai itu tidak menghantar albumnya untuk pencalonan.

“Memang tidak dinafikan Yuna sangat popular dan dia juga telah meraih banyak kejayaan, namun Ketiadaan Yuna dalam senarai pencalonan ini adalah kerana dia tidak menghantar albumnya untuk pencalonan. Kalau ada, mungkin pihak juri akan memilih dia sebagai salah seorang calon akhir. Tetapi ingin saya ingatkan, APM bukan bersandarkan populariti semata-mata, sebaliknya ia bertujuan untuk mencari yang terbaik,” ulas Amin.

Dalam masa yang sama, Amin juga turut mengumumkan pihak APM telah mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan pada tahun ini apabila peratusan pencalonan telah melonjak sebanyak 33 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Selain mengumumkan senarai lima calon akhir, pihak penganjur juga mengumumkan nama pengacara dan senarai artis yang akan membuat persembahan pada malam kemuncak nanti.

Buat pertama kalinya, Didie Alias telah dipertanggungjawabkan sebagai pengacara yang akan mewakili Malaysia. Manakala artis yang akan membuat persembahan terdiri daripada Datuk Siti Nurhaliza, Jacyln Victor, Ning Baizura & Shila Amzah (Tiga Suara), Ana Raffali, Faizal Tahir, Ajai & Amanda Imani, Atilia & Loloq serta Hafiz AF.

source gua.com.my
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search