Chong Wei, Pandalela Olahragawan dan Olahragawati Negara 2012

- 10.15
advertise here

Seperti  yang diramal, jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara, Pandalela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2012 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya malam tadi.

Kejayaan Chong Wei, 30, dan Pandelela, 19, menyumbang kilauan pingat pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London ternyata menjadi pencapaian cemerlang buat kedua-dua atlet negara berkelas dunia itu.

Pada temasya itu, Chong Wei memenangi pingat perak dalam acara badminton selepas tumpas kepada musuh ketat, Lin Dan dari China manakala Pandalela pula memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter individu platform.

Lebih membanggakan, Pandelela yang memenangi anugerah Atlet Terbaik 2012 anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) turut memahat sejarah baharu apabila menjadi atlet wanita pertama negara yang menyumbang pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Atlet berketurunan Bidayuh dari Sarawak itu turut memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA/Media di Dubai Mac tahun lalu dan menduduki tempat keempat pada Kejuaraan Terjun Siri Dunia 2012 di Moscow April iaitu kedua-duanya dalam acara yang sama.

Kehebatan Chong Wei yang memegang tampuk ranking No. 1 dunia dengan rekod selama 40 bulan sejak September 2008 sukar untuk dipertikaikan lagi apabila dia memenangi gelaran Terbuka Malaysia, Terbuka Korea Selatan, GP Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark sepanjang kempen musim lalu.

Untuk rekod, gelaran ini adalah yang kedua buat Pandalela selepas memenanginya pada 2011 manakala bagi Chong Wei yang baru mendapat berita gembira bergelar bapa pada minggu lepas, pernah memenanginya pada 2011, 2008 dan 2005.

Antara atlet lain yang turut dicalonkan untuk kategori Olahragawan 2012 ialah Muhd. Syafiq Ridhwan (boling), Bryan Nickson Lomas (terjun), Ricky Leong Tze Wai (karate), Sazali Samad (bina badan), Khairul Anuar Muhammad (memanah) dan Yu Peng Kwan (lawan pedang).

Calon bagi kategori Olahragawati 2012 pula adalah Nicol Ann David (skuasy), Nur Suryani Muhd. Taibi (menembak), Cheah Mei Lan (boling), Chai Fong Ying (wushu), Quzandria Nur Muhd. Fathil (ekuestrian) dan Fatehah Mustapa (basikal).

Selaku pemenang anugerah tersebut, Chong Wei dan Pandalela membawa pulang wang berjumlah RM20,000 setiap seorang bersama trofi iringan.

Sementara itu, pasukan hoki remaja Malaysia (projek 2013) pula dinobatkan Pasukan Lelaki Kebangsaan Terbaik selepas menjuarai Piala Remaja Asia 2012 di Melaka manakala pasukan skuasy wanita yang dibarisi Nicol, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold dan Siti Munirah Jusoh dinobatkan Pasukan Wanita Kebangsaan 2012.

Jurulatih perseorangan badminton negara, Abdul Rashid Mohd. Sidek pula muncul Jurulatih Lelaki Kebangsaan namun bagi Jurulatih Wanita Kebangsaan tiada pemenang diumumkan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan pegawai pembangunan bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Datuk Seri Paul Mony Samuel pula diberi anugerah Kepimpinan Sukan atas sumbangan besar mereka dalam sukan negara.

Pelumba Moto3 negara yang beraksi bersama pasukan Red Bull KTM Ajo pula diberi anugerah khas bersama-sama atlet angkat berat berusia 78 tahun, Ng. Chow Seng.

Turut mencemar duli pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

- KOSMO!

 
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search