MENYAKSIKAN dengan mata sendiri tujuh ahli keluarga disembelih hidup-hidup oleh tentera Jepun menjadi igauan ngeri buat Xia Shuqin seumur hidupnya.
Walaupun dia masih kecil ketika itu, Shuqin masih mampu mengingati peristiwa berdarah yang merentap emosi kanak-kanaknya.
Apa yang dihadapi Shuqin itu antara cebisan kisah malang rakyat China dalam peristiwa yang dipanggil Pembunuhan Nanjing. Dalam tragedi yang berlaku pada tahun 1937 itu, kira-kira 300,000 rakyat China didakwa terbunuh sepanjang dua bulan tentera Jepun berkuasa.
Mereka dengan rakus tanpa belas kasihan bertindak menyembelih, merogol dan memusnahkan kediaman penduduk.
Skala pembunuhan beramai-ramai membuktikan kekejaman berlaku pada Perang Dunia tetapi dinafikan oleh sesetengah revisionis Jepun. Dengan setiap penafian, Shuqin berkata, dia terpaksa mengingati keganasan yang berlaku terhadapnya.
Dirogol bergilir-gilir
Tarikh 13 Disember 1937 tidak pernah luput daripada kotak memorinya. Ketukan keras di pintu kedengaran menakutkan. Dalam tempoh kurang seminit, tujuh ahli keluarganya terbunuh.
Ayah Shuqin ditembak sebaik dia membuka pintu. Sejurus kemudian, ibu yang memeluk erat adik perempuannya yang berusia setahun diheret dari bawah meja. Kedua-duanya turut dibunuh selepas mereka merogol ibunya secara bergilir-gilir.
"Mereka (tentera Jepun) mencampak adik saya ke lantai dan meletakkan ibu di atas meja. Pakaiannya dikoyak dengan rakus dan mereka memperkosa ibu berkali-kali," ujar Shuqin sambil menahan sebak di dada.
Dua kanak-kanak dari rumah jiran juga telah dibunuh ketika Shuqin bersembunyi di bawah cadar di dalam bilik belakang bersama tiga kakaknya yang lain. Datuk dan neneknya duduk di atas katil.
Suasana yang hening seketika tidak kekal lama. Apabila tentera memasuki bilik tersebut, mereka terus menembak datuk dan nenek tepat di kepala sebelum merogol dan membunuh kakaknya yang berusia 13 dan 15 tahun.
"Saya hanya berusia lapan tahun ketika itu, tetapi saya tahu apa yang telah berlaku kepada semua ahli keluarga. Mereka telah dirogol dan mati dalam keadaan menahan kesakitan serta penderitaan yang dahsyat.
"Saya menangis setiap hari hingga tidak mampu melihat. Setiap kali memikirkan perkara itu, ia akan membuatkan saya sedih," ujarnya.
Dalam kejadian itu, Shuqin turut mengalami kecederaan akibat ditikam sebanyak tiga kali di bahagian belakang dan bahu. Apabila sedar, dia bangun untuk mencari mereka yang terselamat. Ternyata, hanya adiknya yang berusia empat tahun terselamat dalam tragedi berdarah itu.
Mereka terpaksa bersembunyi di sebalik mayat yang mereput selama 10 hari sebelum ditemui oleh sepasang suami isteri dan dibawa ke Zon Keselamatan Antarabangsa.
Kawasan itu merupakan kem pelarian sementara yang ditubuhkan oleh warga asing yang menetap di Nanjing bagi menghalang pembunuhan terus berlanjutan.
Kekejaman Jepun
Tragedi pembunuhan beramai-ramai itu ternyata memberi kesan besar terhadap hubungan antara China dan Jepun pada masa kini. Namun, kedua-dua pihak berbeza pandangan tentang skala pembunuhan tersebut.
China mendakwa 300,000 rakyatnya terbunuh. Bagaimanapun, satu kajian bersama dua tahun lalu, Jepun menyatakan sekitar 20,000 hingga 200,000 sahaja rakyat China yang terkorban.
Beberapa penganalisis sampingan dan ahli politik ultra konservatif mempertikaikan kekejaman Jepun yang berlaku di bandar Nanjing. Dahulu, Nanjing dikenali sebagai Nanking.
"Saya sudah berusia lebih 80 tahun dan masih menerima penghinaan sebegini," ungkap Shuqin yang telah menghabiskan masa selama 12 tahun berjuang menuntut hak yang dinafikan oleh Jepun melalui mahkamah.
"Mereka mengatakan pembunuhan itu adalah palsu dan tidak wujud langsung. Ini tidak mungkin kerana parut tikaman di bahagian belakang saya masih ada," tegas Shuqin sambil menunjuk kesan parut di bahu dan belakangnya dengan linangan air mata.
Hari ini, China dan Jepun merupakan dua kuasa besar di Asia. Ekonomi negara tersebut ialah yang kedua dan ketiga terbesar di dunia.
Ironinya, kedua-dua negara berkenaan telah membangunkan satu hubungan perdagangan yang erat, tetapi sejarah lampau tetap memberi kesan negatif dalam perhubungan tersebut.
Perkara ini diakui oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.
Dendam lama
Menurut Zainal, peristiwa Pembunuhan Nanjing 1937 memberi kesan yang amat buruk pada jiwa rakyat China. Ia menyebabkan rakyat berdendam dengan Jepun sejak sekian lama.
"Walaupun pada awalnya China menerima sahaja modal pelaburan yang diberi oleh Jepun termasuk teknologi mereka, namun situasi kini sudah jauh berubah. Hakikatnya mereka mengambil peluang tersebut semata-mata untuk meningkatkan dasar ekonomi China.
"Kini, China sudah pun menjadi kuasa besar di Asia sekali gus mengatasi Jepun dan tidak lagi bergantung pada mereka. Malah, negara komunis tersebut turut mahu meluaskan dominasi mereka ke negara yang terletak di Laut China Selatan seperti Vietnam, Filipina, Brunei termasuk Malaysia.
"Hasrat mereka itu dapat dilihat melalui penubuhan Pusat Pentadbiran Laut China Selatan yang mampu memberi ancaman terhadap pentadbiran negara di sekitarnya," jelas Zainal ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah beliau, ketika Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Tentera Rakyat Anti-Jepun Malaya (MPAJA) menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu sebenarnya itu satu tindakan untuk membalas kekejaman yang dilakukan tentera Jepun dalam peristiwa Pembunuhan Nanjing.
Tragedi yang berlaku sejak 75 tahun itu menyebabkan China berasa amat terhina kerana perbuatan imperialis Jepun. Ia semakin memuncak apabila awal tahun ini gelombang anti-Jepun tercetus di seluruh negara kerana perebutan kepulauan di Laut China Selatan yang dinyalakan oleh nasionalis Tokyo.
Firma-firma Jepun ditutup atau nilai pengeluaran dikurangkan dan pengguna China menjauhi barangan jenama Jepun, malah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta memberi amaran risiko pengangguran.
Beberapa pengkaji sejarah dari luar percaya, peristiwa Pembunuhan Nanjing merupakan percubaan yang disengajakan untuk memaksa China menyerah kalah. Ada juga berpendapat tempoh pertempuran yang lama menyebabkan kegagalan pihak tentera meraih kemenangan.
"Di seluruh wilayah China, penduduk masih merasai kepahitan tragedi Nanjing. Sudah lebih tujuh dekad peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu berlaku, namun orang Jepun enggan mengakui perbuatan mereka," kata Timbalan Pengarah Institut Kajian Sejarah, Akademi Sains Sosial Wilayah Jiangsu, Wang Weixing.
Padam sejarah
Lantaran itu, China menuduh Jepun memadam sejarah perang di dalam buku teks sekolah dan sering naik berang setiap kali ahli politik Jepun melawat tempat suci, Yasukuni di Tokyo.
Lokasi itu menempatkan jasad pejuang negara ditanam termasuk 14 mayat bertaraf pejuang kelas A. Antaranya termasuklah Panglima Besar tentera Jepun di Nanjing, Iwane Matsui yang dihukum bunuh selepas perang tamat.
Bagaimanapun penentang China berkata, Beijing telah menerapkan unsur-unsur kebencian terhadap Jepun seperti yang terdapat dalam undang-undang komunis iaitu satu undang-undang yang sah untuk dipraktikkan.
Sementara itu, Tokyo mengakui mereka sentiasa merasai penyesalan yang mendalam dan permohonan maaf sentiasa terukir di minda lantaran peperangan tersebut.
"Kami mengakui bahawa bagi satu tempoh tertentu dalam sejarah, Jepun melalui undang-undang pencerobohan dan kolonial telah menyebabkan kerosakan besar dan penderitaan kepada rakyat banyak negara," menurut kenyataan yang dipetik daripada Kementerian Luar Jepun.
Advertisement