NAMANYA sudah agak lama tidak diperkatakan, kecuali berita tentang dirinya yang bakal berkahwin dengan tunangnya, jejaka kacukan Inggeris-Lebanon bernama Bruce Dargus dijadualkan pada 12 Disember ini.
Bagaimanapun, keadaan menjadi heboh apabila pelakon dan penyanyi kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe, 33, pada Ahad lepas tiba-tiba mengakui dia keliru dan hampir pasti untuk membatalkan majlis perkahwinan dengan pemuda yang telah mengikat tali pertunangan dengan dirinya pada 14 Jun lalu itu.
Bagaimanapun semalam, Betty mengakui kepada Kosmo! bahawa dia nekad mahu meneruskan pernikahannya tersebut seperti yang telah dijadualkan.
Pernikahan itu tetap akan berlangsung pada 12 Disember menjelang pukul 7.45 malam di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Pelakon filem Haru-Biru dan drama Spa Q itu mengakui berlaku perselisihan pendapat antara dia dan tunangnya itu dan masalah tersebut lebih menjurus kepada masalah perbezaan budaya serta tidak melibatkan orang ketiga atau masalah lain.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe itu dikhabarkan terpaksa masuk hospital pula. Apakah yang berlaku?
Ketika dihubungi Kosmo! kelmarin, Betty memberitahu tentang perkara sebenar yang telah menimpa dirinya itu.
Kosmo!: Apakah punca permasalahan yang timbul sehingga Betty keliru dan terfikir untuk membatalkan majlis perkahwinan yang sebelum ini telah dirancang pada 12 Disember itu?
BETTY BANAFE: Masalah sebenarnya kecil sahaja, disebabkan bakal suami saya yang berasal dari England, maka kami berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan. Sudah tentu, apabila kita berkahwin dengan orang asing, budaya tidak akan sama. Kehidupan mereka lebih ke arah budaya Barat manakala kita adalah orang Asia, pasti ada sedikit perbezaan di situ. Bagaimanapun, setelah segalanya dibawa berbincang, akhirnya niat perkahwinan itu akan diteruskan juga.
Bagaimanakah perasaan Betty menjelang majlis perkahwinan nanti?
Sudah tentu saya berasa cukup gembira dan saya memang sangat mencintai dirinya. Walaupun menghadapi sedikit masalah pada saat-saat akhir, saya tabah menghadapinya. Kata orang, apabila sudah bertunang, kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jadi, itu sudah lumrah dalam hidup, saya harus melaluinya.
Apakah yang menyebabkan Betty menerima Dargus sebagai bakal suami sedangkan dia berbeza budaya dan agama?
Saya berasa teruja dengan perkahwinan campur ini. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan. Dalam hal ini, saya bersifat terbuka, lagipun saya mempunyai ramai kenalan dari luar negara dan selalu bercampur dengan mereka.
Apakah ciri-ciri istimewa Dargus yang membuatkan Betty terus jatuh hati?
Dia suka dan bijak berkomunikasi, berkemahuan tinggi untuk belajar sesuatu perkara baharu. Itu yang menyebabkan saya tertarik dengan dirinya.
Bagaimanakah pula dengan persiapan majlis perkahwinan?
Alhamdulillah, persiapan perkahwinan kami semuanya berjalan dengan lancar. Saya sudah melantik LH Media TV sebagai jurufoto rasmi, manakala set persalinan untuk perkahwinan merupakan rekaan Nurul Al Huda dari Singapura.
Apakah perancangan selepas perkahwinan anda nanti?
Saya akan meneruskan bisnes keluarga. Selain itu, saya berharap perkahwinan ini akan memberikan saya kekuatan dan menambahkan lagi persefahaman dan kasih sayang antara saya dan Dargus.
Bagaimanakah pula dengan perancangan destinasi berbulan madu?
Selepas sambutan tahun baharu nanti, Insya-Allah, kami merancang untuk bercuti di dalam negara sahaja, iaitu di Pulau Sipadan, Sabah.
Apakah perkembangan terbaharu Betty dalam dunia seni sekarang?
Dalam waktu terdekat ini, saya akan muncul dalam drama Mariam Kampung Putat di TV3 menjelang 24 November ini. Selain itu, saya akan melancarkan muzik video pop terbaharu berjudul Tak Sengaja yang dijadualkan selepas perkahwinan saya nanti.
Khabarnya Betty akan masuk hospital, betulkah?
Saya dimasukkan ke pusat perubatan pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Selangor pada pukul 5 petang Selasa (semalam, 20 November). Keesokan paginya (hari ini, 21 November) saya akan menjalani pembedahan sista ovari. Pembedahan tersebut akan mengambil masa selama dua hari. Ini merupakan kali kedua pembedahan yang sama saya lakukan setelah kali pertama pada 23 November, 2007.sumber
Advertisement